Hati orang mukmin ialah hati yang sihat dan ceria. Manakala hati orang yang fasiq (berdosa) ialah hati yang sakit dan resah. Dosa itu akan mengundang gelisah dalam jiwa. |
Rasulullullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dosa itu sesuatu yang mendatangkan rasa resah dalam hatimu.”
Dosa ialah “virus” yang menyebabkan hati sakit. Hati yang sakit mudah dikuasai oleh hawa nafsu yang ditunggangi oleh syaitan. Apabila “raja” (hati) dalam kerajaan diri sakit, ia akan turun dari takhtanya, dan naiklah “penjahat” (nafsu) sebagai penguasa yang baru yang akan sentiasa mengajak diri kepada kejahatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya hawa nafsu itu akan sentiasa mengajak kepada kejahatan” (Surah Yusuf 12:53).
VIRUS DOSA
Seumpama penyakit lahir yang ada virus atau bakteria yang menjadi penyebabnya, maka begitu jugalah penyakit hati. Ada virusnya yang tersendiri. Sekali lagi ditegaskan bahawa virus penyakit hati ialah dosa.
“Virus” dosa akan menyerang dan “menyakitkan” hati tidak secara mendadak. Ia akan merosakkan hati secara perlahan lahan dan berperingkat peringkat. Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia satu kebiasaan yang terbentuk secara perlahan lahan, tahap demi tahap
Rasa Bersalah Dengan Dosa
Pertama kali berbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Fitrah semulajadi manusia adalah baik (sewaktu di alam roh dan mula mula dilahirkan ke muka bumi ini).
————————
BAGAIMANA MENGESAN PENYAKIT HATI
Bagaimana merawat hati yang sakit sebelum menjadi parah? Mula mula kita perlu menyedari bahawa hati itu bolak balik sifatnya. Rasullullah SAW menjelaskan hati itu bagaikan kuah yang sedang mendidih atau menggelegak. Simpang siur dan turun naiknya begitu unik. Kekadang ia sihat dan baik bagaikan fitrah asalnya. Namun sesekali bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.
Bagaimana caranya untuk mengesan samada hati kita sihat atau sakit? Sekali lagi Syeikh Ibn Ata’illah memberikan panduan menerusi kata katanya:
“Sebahagian daripada tandanya matinya hati, iaitu jika tidak berasa sedih kerana tertinggalnya suatu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika buat sesuatu perlanggaran dosa”.
Beliau menegaskan lagi bahawa kata kata itu bersandarkan sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berasa senang oleh amal kebaikannya dan merasa sedih atau menyesal atas perbuatan dosanya, maka dia seorang Mukmin (beriman)” (Riwayat al-Tabarani).
Kalau badan kita sakit, kita tidak berselera untuk makan sekalipun dihidangkan makanan yang enak. Mana mungkin kita makan, hidung yang tersumbat, lidah yang pahit yakni ketika deria pandang, bau dan rasa kita telah “tercabut”.
Begitu juga dengan hati yang sakit menolak segala “makanan Rohani” yang enak dan lazat seperti solat, zikrullah, membaca al-Quran, doa dan lain lain. Apabila solat tidak lazat, bukan ertinya solat itu yang tidak lazat tetapi kerana hati kita sakit. Apabila membaca al-Quran tidak manis, bukan beerti al-Quran itu pahit tetapi hati kita yang sakit.
JALAN MUJAHADAH
Hati yang sakit wajib dirawat. Jika sakit lahiriah menyeksa kita didunia dan paling buruk akan berakhir dengan kematian, sakit bathiniah (hati) menyebabkan kita terseksa di dunia dan menderita selama lamanya diakhirat. Tidak ada Jalan lain untuk merawat hati kecuali dengan Jalan mujahadah (bersungguh sungguh menempuh Jalan ketaatan).
Ubat selalunya pahit, maka begitulah dengan mujahadah, ia sangat pahit, perit dan menyeksa. “No pain, no gain”.
Itulah hukumnya. Mujahadah itu pahit, kerana syurga itu manis. Jadi tidak ada Jalan pintas untuk merawat hati melainkan dengan bermujahadah. Orang yang bersungguh sungguh dalam mujahadah akan mendapat pimpinan Alalh SWT, insya-Allah.
Mafhum Firman Allah SWT:
“Dan sesiapa yang bersungguh sunguh di Jalan Kami nescaya Kami akan tunjukkan Jalan Jalan Kami.”. (Surah al-Ankabut 29:69)
Untuk mendapat dorongan dan kekuatan dalam bermujahadah, renungilah panduan panduan yang diberikan oleh Al-Quran dan sunah mengenai soal hati. Ikutilah nasihat para ulama yang merupakan “doktor-doktor” Rohani yang arif dalam soal yang seni dan maknawi ini. Mereka yang celik mata hati ini mempunyai “stetoskop” yang dapat mengesan penyakit hati dan mengubatinya.
Sehubungan dengan itu, imam Al-Ghazali memberi panduan :
“Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu ketika bangun membaca Al-Quran. JIka kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur meningati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah SWT, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”
———————————————
Antara untuk kita mendapatkan mencari kembali hati kita adalah dengan solat. Berkata seorang
ulama bernama al-Hakim:
“Jika kamu ingin Allah ‘bercakap’ denganmu, bacalah Al-Quran kerana Al-Quran ialah ayat ayat Allah yang ditujukan kepadamu. Tetapi jika kamu pula ingin ‘bercakap’ dengan Allah, maka dirikanlah solat kerana solat hakikatnya ialah doa, pengaduan, pujian dan rintihan seorang hamba kepada Allah”.
Hati yang lemah akan mendapat semula kekuatannya apabila bersandar kepada satu kuasa Yang Maha Perkasa.
Bukankah antara satu nama Allah SWT ialah Al-Sami’ (Maha Mendengar)? Allah sentiasa mendengar rintihan dan permintaan hamba-Nya. Apabila kita rasa Allah mendengar segala pengaduan kita, sudah pasti jiwa kita akan mendapat satu ketenangan dan kerehatan.
Sebab itu, seringkali Rasullullah SAW bersabda kepada Saiyidina Bilal ( apabila Baginda menyuruhnya melaungkan azan), “Rehatkan kami dengan solat wahai Bilal”.
Itulah ketenangan hati yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali dengan anjurannya, “Carilah hatimu dalam solat!
sumber: Majalah Solusi Isu 4; antara majalah yang penuh dengan perkongsian ilmu.
No comments:
Post a Comment