May 10, 2015

Cinta Kedua



Ombak beralun lembut tatkala senja sedang berlabuh. Hati ini masih sayu teringatkan kata-kata seorang tua separuh umur yang menegur aku kelmarin, namun aku masih tidak boleh menerima hakikat.

Aku tak boleh terima tegurannya seratus-peratus. Sebenarnya, sikit pun aku tak mampu terima. Sayu hati sebab kata-kata itu dilontarkan di depan ahli keluarga orang yang aku cinta. Bakal isteriku ada, mak dia ada, adik beradiknya ada, datuk neneknya semua ada. Orang tua itu selamba tegur aku,

“Kau kalau nak nikah juga dengan anak aku, stop merokok. Itu saja. Kau takkan tak tahu merokok itu haram. Kau belajar sampai habis ijazah, kan?”

Betullah nak tegur. Tapi, perlu ke depan semua orang? Perlu ke masa-masa tu jugalah nak dihentamnya? Tak boleh ke tunggu esok ke, lusa ke, jumpa di kedai kopi ke, ini tidak.

Aku hidupkan kembali motosikal. Dalam hati, panas membara. Kelakianku dicabar. Aku dah datang elok-elok rumah dia, datang dengan bawa hajat yang murni, boleh pula ayahnya macam tu. Yang aku panaskan, sikit pun dia tak cuba untuk bela aku. Aku yang malu sendiri. Maruah aku bagai disiat-siat belati tajam. Mujurlah aku tak bawa orang tua bertandang sama. Kalau tak, dengan mak ayah aku turut tempias malunya. Ada teman wanita pun buat aku macam apa saja. Aku terluka tahu tak. Terluka!

“Eh, aku datang pakai baju melayu, pakai kopiah bagai dah. Dah nampak macam muka ustaz apa. Masih nak letak syarat macam-macam! Slack aku datang lepas Isyak. Masa tu sejuk, aku pekenalah Dunhill dulu sebelum sampai rumah. Kantoi bau rokok! Bau saja pun! Tak boleh ke?! Tak boleh?!”

Aku hempuk-hempuk kepala motosikalku yang tidak bersalah. Ada kucing lalu di sebelah motorku, tengok tak berkelip.

“Apa tengok-tengok?! Kau pun sama saja dah kenapa buat video kucing makan api lilin yang jadi viral di page SukanStar tu?!”

Kucing tu mencakar betisku lalu berdesup lari dari situ. Tak guna punya kucing. Aku pun bongok juga marah kucing tu dah kenapa?

Hari mulai gelap. Dah nak dekat Maghrib. Ku pecut motosikalku melalui kawasan-kawasan kampung. Memang aku sengaja datang jauh dari rumah ke pantai semata-mata untuk lepaskan tensi yang melanda hati. Hujan mulai rintik-rintik. Makin lama, makin lebat. Aku pun tak pasti aku berada di kampung mana masa tu, sebab hari dah gelap. Kawasan kelapa sawit pula tu. Tak ada rumah orang langsung. Peduli apa aku. Bukannya aku tak biasa redah jalanraya yang lengang seorang diri di malam hari. Hero manalah takut beb.

Hunjaman air hujan makin deras. Memaksaku berhenti seketika. Kalau redah juga, pedihlah muka kena hentam dengan air hujan dari depan. Yang lebih bahaya, lopak air di jalanan tu. Tak dapat jangka dalam atau tidak. Kalau nasib tak baik, boleh berpusing 180 darjah motosikal. Nak mati ke? Aku tak nak. Aku tak kahwin lagi, okay. Nak mati pun biar lepas kahwin.

Berteduh. Baju hujan tak bawalah pula. Nak tak nak, aku berhenti di sebuah wakaf tepi jalan yang telah usang.

Dalam kesejukan, aku keluarkan kotak rokok. Aku dah beli dua kotak terus, sebab terlampau geram dengan bakal bapa mertua. Ku keluarkan sebatang. Cucuh api. Asap berkepul ke udara. Rasa hangat sikit dalam badan. Sebenarnya, taklah hangat macam minum air kopi panas masuk ke dalam badan pun. Feeling tu penting, rasa macam hangat walaupun taklah mampu menghangatkan seluruh badan.

Macho tu penting, tahu tak. Lelaki perlu hidup di atas muka bumi ini dengan lagak penuh hero macho, stylo. Apa barang tak hisap rokok nak kekalkan bibir merah. Macam jambu, pondan. Tak berkenan langsung aku.

Hujan nampaknya tak nak berhenti. Resah seketika sendiri. Dah tiga batang rokok aku habiskan. Dalam hati marah-marah sendiri,

“Ni nak kena berkhemah di sini ke apa ni? Padan muka aku datang jauh-jauh walaupun dah tahu musim hujan!”

Aku hidupkan balik motor. Tapi, motosikal tak nak hidup. Beberapa kali aku cuba start. Plug dah masuk air ke? Aku periksa starter, ekzos tak ada apa-apa yang tak okay. Semuanya dalam keadaan yang baik. Minyak masih separuh tangki. Aduh, apa pula dugaan ini? Sedang aku cuba hidupkan, tiba-tiba aku perasan angin kuat datang dari arah kanan. Seakan ribut. Kuat sangat.

Tapi, yang lebih mengejutkan, tiba-tiba air deras menerpaku yang berada di atas motosikal. Terbeliak sendiri. Tak mampu nak larikan diri. Badainya terlalu deras. Kuat arusnya. Menghentam laju.

Aku dan motosikalku dihanyutkan arus deras sedikit demi sedikit. Sekelip mata, seluruh kawasan di sekelilingku tadi kini dilanda banjir. Barulah aku perasan, tempat aku berhenti untuk berteduh tadi, di kawasan rendah. Kawasan laluan air hujan. Berdekatan dengan sungai!

“Allahurabbi!” Itu saja yang terucap di bibir ini.

Air yang tadi separas dadaku, kini sudah berada di paras leher. Nak tak nak, aku lepaskan saja pegangan tanganku daripada motosikal. Sekarang, motor dah tak penting, nyawa lebih penting. Helmet di kepalaku buang. Menyusahkan untuk aku berenang nanti. Debaran di jantung macam nak pecah. Tak nampak daratan. Bila tanganku lepaskan saja, kakiku tidak lagi menyentuh lantai!

Aku hanyut. Dihanyutkan oleh arus deras. Terkapai-kapai sendiri sekarang. Memanglah aku tahu berenang. Tapi, dalam keadaan air terlampau deras, kayuhan kedua-dua tangan aku tidak mampu melawan arus. Hati dah risau yang teramat.

Apa yang terfikir masa tu,

“Habislah. Mati aku kali ni! Mati!”

Dalam tenggelam-timbul dihanyutkan air banjir, kalau aku nak bertaubat sekalipun dah tak sempat. Mana sempat lagi nak sujud di sejadah, mana sempat lagi nak berbuat apa-apa amalan ibadah pun. Menyesal yang teramat masa tu. Nak selamatkan diri sendiri pun tak pasti berjaya ke tidak lagi.

Aku nampak batang kayu besar menerpa ke arahku dengan kelajuan tinggi.

PANGG!

Terkena di kepalaku. Seketika penglihatanku kabur, dengan darah sendiri mengalir mencurah-curah dari dahi. Pecah kepala. Tapi, tangan aku sempat berpaut pada dahan di batang kayu besar itu. Pegang kuat-kuat. Kepalaku sedikit pening. Namun, berpantang maut sebelum ajal.

Akhirnya, batang kayu besar itu terhenti, tersangkut pada sebatang pokok lain yang berada di tengah-tengah arus deras. Aku tak lepaskan peluang itu. Terus memanjat naik ke atas pokok. Kesejukan. Menggeletar seluruh badan. Pokok itulah satu-satunya yang ada di situ. Sekeliling aku, seolah-olah dah jadi pulau dengan air berwarna perang, dah macam air milo. Air lumpur. Aku menekap luka di kepala dengan daun kayu yang ada di pokok itu.

Entah berapa lama pokok itu mampu bertahan dalam arus yang kian menggila. Aku pun tak tahu. Sudah lebih lima jam aku berada di atas pokok itu. Berpaut pada dahan yang rapuh.

Aku kesejukan melampau. Bibir dah biru. Anggota badanku sudah kecut-kecut berurat. Ku keluarkan kotak rokok yang sudah lembap. Cucuh sebatang demi sebatang. Tak nak menyala. Semua dah tak berguna. Seketika, fikiranku menerawang. Terimbas kembali kata-kata seorang abang yang jual tembikai, tapi aku dah belasah dia lepas dia ceramahkan aku.

“Rokok itu tak dapat membantu kau sedikit pun. Tembakau tu ada la juga gunanya, masa pepijat masuk dalam telinga, bolehlah guna tekap tembakau tu dalam telinga supaya pepijat keluar. Selain tu, tak ada faedah langsung. Kau pun tahu harganya pun cekik darah. Harga boleh beli ‘snack plate’ KFC tu. Kalau makan, dah kenyang.

Kalau kau sedekah Subuh, RM15 setiap pagi, dah berganda-ganda Allah bagi pahala pada kau. Yang kau hisap, semua burn termasuk organ dalaman kau. Tapi, apa yang kau sedekahkan, stay. Bawa sampai ke akhirat. Kau tahu kan, kalau kau sedekah di awal pagi, Insya-Allah hari kau bersedekah itu, Allah bantu ceriakan hari kau dan bala atau musibah yang nak menimpa pun dengan izin Allah dibabaskan.

Dalam sepuluh ustaz, sembilan kata haram, seorang saja yang kata makruh. Dalam 99% ulama, 1% saja yang kata makruh. Kau tetap nak bertahan dengan yang makruh tu? Kita tak perlu bicara pasal hukumlah. Aku pun bukan ustaz nak bahas pasal ni.

Ibarat tembikai yang kau nak beli ni. Aku nak tanya kau, kau nak tak beli kalau aku kata, lebih dari separuh bahagian tembikai ni dah buruk berulat?”

Aku menggelengkan kepala.

“Gila ke apa aku nak beli kalau dah tahu buruk?”

Abang tembikai membalas,

“Tengok, tahu pun kau tak nak beli kalau tahu buruk. Sama jugalah dengan rokok tu. Kau sanggup beli tembikai yang buruk, bagi makan pada ahli keluarga kau? Buat mereka cirit? Kalau merokok itu memang bagus, kenapa tak hisap dalam masjid?”

Lepas dia tanya soalan bangang tu, aku debik dia sepuluh kali sampai masuk ICU. Koh koh koh.

Hari dah jauh malam. Gelap-gelita sekeliling. Yang ada hanya aku, pokok ni dan air banjir yang mengalir laju di bawah kakiku.

Aku dah cuba keringkan henfon tadi. Tadi tak hidup, entah sekarang hidup ke tak. Aku ambil dan cuba. Eh, dah boleh. Bateri sangat low. Aku cepat-cepat call orang yang aku sayang. Bakal isteri aku. Nasib baik berangkat.

“Abang ni. Abang tak dapat cakap lama. Abang dihanyutkan arus banjir. Sekarang, terlekat di pokok. Abang sendiri tak tahu di mana.”

Aku mendengar suara balas yang risau. Kalut bertanya di mana. Cemas. Hampir sebak. Menangis-nangis. Perempuan tak sah kalau tak nangis. Lebih-lebih lagi orang yang dia sayang dalam bahaya.

“Abang cuma nak cakap, abang minta maaf atas segalanya. Abang minta maaf tak dapat jadi lelaki yang baik sebagaimana yang abah sayang nak. Abang mungkin tak sempat pun nak jadi baik. Abang tak tahu berapa lama lagi pokok ni boleh bertahan. Nyawa abang sudah pun di hujung tanduk.

Abang minta maaf, sebab abang telah terlanjur kata. Abang bertekak dengan sayang, abang cakap abang sanggup kehilangan sayang, tapi tak sanggup kehilangan rokok. Abang cakap, sayang cinta kedua abang. Rokok cinta pertama abang.

Tapi, andai abang berjaya kembali, abang nak sayang percaya abang boleh berubah. Abang boleh berhenti merokok. Kalau bukan sekarang, mungkin esok. Kalau tak boleh esok, lusa. Kalau tak boleh juga, minggu depan. Kalau tak boleh juga, bulan depan. Berikan abang masa. Tolong cakap ni pada abah sayang. Sampaikan juga maaf abang padanya.

Maaf, bila abang tak sempurna.”

Bateri kong. Entah dia sempat dengar ke tak ayat jiwang aku last sekali tu. Aiseh. Potong stim betul.

Malam yang dingin dengan hujan yang tak berhenti-henti turun, buat aku makin menggigil. Darah di kepala pun dah berhenti. Dah beku agaknya.

Lapan jam berlalu. Lapan jam jugalah aku tidak merokok. Tak pernah dalam hidup aku, tolak bulan Ramadhan, aku tak merokok dalam tempoh lebih dua jam. Sejak aku tingkatan satu lagi, aku dah merokok. Dah sebati. Kalau tak merokok, gelisah tak tentu pasal. Tambah-tambah lepas makan, loya tekak kalau tak berasap mulut. Dah banyak kali aku bergaduh dengan guru disiplin, siap tumbuk terajang gara-gara rokok. Tak boleh, rokok dan aku tak mampu dipisahkan. Datanglah seribu hujah sekalipun, aku takkan baca. Tak nak dengar. Macam mana aku nak dengar, aku tengok ramai ustaz, budak-budak belajar agama pun merokok?

Dah lepas lapan jam. Terlintas di fikiranku,

“Eh, boleh pula aku tahan? Biasa tak boleh.”

Pokok yang ku panjat ini makin senget. Habislah. Aku turun sedikit dari pokok, meraih air basahi anggota wudukku. Aku nak solat. Mungkin solatku yang terakhir.

Terlintas lagi di fikiranku,

“Kalau aku masih merokok atau sedang merokok, atau baru lepas merokok, adakah Allah akan mustajabkan doaku dalam keadaan mulutku yang berbau busuk? Dalam keadaan aku reda diri aku hisap benda haram, benda yang ulama marah?

Sedangkan ulama itu pewaris Nabi. Maksudnya, aku melawan sunnah Nabi s.a.w.. Lawan ajaran Nabi s.a.w.. Lebih teruk, lawan agama Islam. Ya Allah. Sekarang baru aku nampak dengan jelas susunannya!”

Ketika sedang solat, air mata lelaki ini berguguran jatuh bersama deraian air hujan yang enggan berhenti. Aku khilaf pada Allah.

“Ya Allah, terimalah taubatku. Tolong jagakan ibu dan ayahku. Janganlah kerana dosaku, mereka terheret bersamaku.”

Usai solat dalam keadaan berdiri, berpaut pada dahan, aku menyedari air sudah semakin tinggi. Kaki yang tadi tidak tersentuh air, kini sudah tenggelamkan lututku.
Aku kini pasrah sepenuh hati. Aku tak mampu mengharungi air deras yang makin lama makin berombak kencang. Pokok ini makin senget ke dalam air. Tanganku tetap berpaut ketat pada ranting dan dahan yang masih ada.

***

48 jam telah berlalu. Sudah 48 jam aku bertahan, air di paras leher. Lemah tidak berdaya. Suara pun dah tak keluar. Sudah banyak mana air banjir tersimbah ke dalam mulut. Menjerit minta tolong pun tak guna. Badanku sudah lemah, mungkin kerana darah dari kepala yang keluar sedikit demi sedikit mengalir tanpa ku sedar.

Pokok tempat berpaut selama dua hari ini ku lepaskan.

Mata sudah terpejam. Tak larat lagi. Dah tak kuat lagi. Berserah sepenuhnya nyawa ini pada Allah. Dalam fikiranku terimbas imej bakal isteriku. Yang kali terakhirku ingat, ku tinggalkan menangis sendirian. Ku masih ingat jelas kata-katanya,

“Abang sanggup tinggalkan sayang demi rokok. Adakah agama Allah ini, abang sanggup juga tinggalkan demi benda tu? Jawab abang, jawab!”

Aku tak dapat jawab. Saat ini, hatiku mengenal erti 150 juta kali penyesalan. Barulah ku mengerti, hati ini cuma terisi, bila ku gantikan dengan cinta yang paling tinggi. Cintakan Ilahi.

Namun, sudah terlambat.

Tenggelam. Hanyut.

***

“Abah nikahkan kamu dengan anak abah, hari ini juga. Anak abah dah menangis tak tentu arah. Macam dah hilang suami. Merayu-rayu abah nikahkan kamu berdua secepat mungkin.”

Aku membuka sedikit mata. Terlantar di katil hospital.

“Abah terharu dengar masa kau tak sedarkan diri, kau asyik sebut, ‘Abah, maafkan saya, maafkan saya, saya janji tak merokok lagi.’”

Aku pun tak sedar aku sebut benda tu. Aku langsung tak sangka pun aku masih hidup. Tak tahu pun siapa yang selamatkan aku. Kuasa Allah. Syukur Ya Allah! Alhamdulillah aku masih hidup! Yahoo!

Aku perhatikan sekeliling. Semua dah ada. Orang tua aku, famili dia. Pak imam pun dah ada. Wartawan pun ada. Dah viral ke kes aku ni?

Di katil wad ini, abahnya sendiri yang raih tangan aku dan sekali lafaz saja, aku dah sah jadi suami!

Aku berpaling ke arah wajah gadis yang kini dah sah jadi isteriku. Kegembiraan terpancar di wajahnya.

“Sayang nak hantaran apa?”

Isteriku segera membalas.

“Hantarannya, buang rokok selama-lamanya, boleh?”

Aku senyum.

“Kalau tak nak?”

Isteriku menarik tanganku dari katil.

“Kalau tak nak juga, sayang sendiri yang akan humbankan abang balik dalam air banjir! Mari cepat!”

Aku melompat dari katil dengan segera bila disebut air banjir,

“Sumpah, abang tak nak merokok lagi!”

Semua orang di situ tergelak tengok telatah kami. Masa aku terlompat tu, wartawan pakat ambil gambar. Masuk muka depan. Habis macho aku. Baru aku perasan, kepala aku dah botak dicukur sebab nak jahit luka.

Botak pun botaklah janji dapat nikah. Tersenyum sendiri.


Cerpen : Cinta Kedua
Karya Original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )

Semoga Taufiq setelah hidayah


Suatu hari ....

Saya ingin pulang ke kediaman saya...menaiki sebuah texi, texi tersebut dipandu lelaki cina...dia menyapa saya dengan penuh sopan  sebaiak saya memasuki texi miliknya

"Cik nak ke mana? "
Saya pun terus memberitahu alamatnya
'Sopan nye uncle ni' desis hati kecil saya...ya..jarang saya jumpa pemandu  texi macam dia..

Apa yang menarik perhatian saya adalah, waktu tu..kedengaran sebuah lagu 'Tangisan Sebatang Tamar ' nyanyian Daqme..mesti ada yang tahu kan lagu tu...'orang cina dengar nasyid?' hati saya berkata2 lagi..hairan...tapi takjub dalam masa yang sama...dana tak lama selepas itu...ada sedikit tazkirah....Allahu akbar..lagi lah..berdebar jantung saya...Subhanallah...adakah dia Muslim?

Saya cuma mengamati nama yang terpapar di didepan.saya...kerana saya berada di belakang....tak berapa ingat namanya...tapi nama dalam cina
Tak henti2 hati melafaz takbir Allah...Allah ..tersetuh hati kecil...terasa sebak...saya berharap dirinya disapa taufiq dan hidayah....supaya dia tahu...betapa indahnya merasai nikmat Islam....
Subhanallah....tapi sayangnya...bibir ini..seakan terkunci..tidak cukup kuat untuk berbicara...apapun...saya berdoa agar dia menemui kebenaran...
Sebaik keluar dari keretanya saya mengucapkan terima kasih..lalu
saya mula merasakan betapa indah dan nikmatnya dilahirkan sebagai Islam
tanpa mampu saya tahan..titisan kecil jatuh perlahan....Allahurabbi...

May 6, 2015

Tolong sampaikan pada dia

Tolong Sampaikan kepada Bakal Imamku


Tolong Sampaikan kepada Bakal Imamku..
Tolong Beritahu si dia,cinta manusia bakal
membuatnya Alpa..

Tolong nasihati si dia,jangan menyintaiku lebih..
dari dia menyintai yang Maha Esa,
Tolong nasihati si dia,jangan mengingatiku lebih..
dari dia mengingati yang Maha Kuasa,
Tolong nasihati si dia,jangan mendoakanku lebih..
dari dia mendoakan kedua ibu bapanya.

Tolong katakan pada si dia.dahulukan Allah kerana
di situ ada syurga...

Tolong katakan pada si dia,,dahulukan ibu bapa kerana
di telapak itu syurganya..

Tolong ingatkan si dia.Aku terpikat kerana imannya bukan rupa..
Tolong ingatkan si dia,Aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta..
Tolong ingatkan si dia.Aku kasihinya kerana santunnya..

Tolong tegur si dia,bila dia mula mengagungkan cinta manusia..
Tolong tegur si dia,bila dia tenggelam dalam angan-angannya..
Tolong tegur si dia,bila nafsu mengawal fikirannya..

Tolong sedarkan si dia,aku milik Yang maha Esa..
Tolong sedarkan si dia,aku masih milik keluarga..
Tolong sedarkan si dia..tanggungjawap besar kepada keluarganya..

Tolong sabarkan si dia,usah ucap cinta dikala cita-cita belum terlaksana..
Tolong sabarkan si dia,andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta..
Tolong sabarkan si dia, bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya..

Tolong pesan padanya,aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya..
Tolong pesan padanya,aku tak mahu menjadi punca kegagalannya..
tolong pesan padanya,aku membiar Yang Esa menjaga dirinya..

Tolong khabarkan pada si dia,aku tidak mahu melekakan dia..
Tolong khabarkan pada si dia,aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya..
Tolong khabarkan pada si dia,jadilah penyokong pada diriku...

Tolong sampaikan pada si dia,aku mendambakan cinta suci yang terjaga..
Tolong sampaikan pada si dia,cinta kerana Allah tidak ternilai harganya..
Tolong sampaikan pada si dia,hubungan ini terjaga selagi mana dia menjaga hubungan dengan yang Maha Kuasa..
Tolong sampaikan pada si dia,kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri..

Hanya Engkau Ya Allah mengetahui siapa dia..Moga pesananku ini sampai padanya walau
aku sendiri tidak mengetahui siapa dan di mana si dia.Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa, memasuki taman larangan dengan sopan santunnya dan bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya..simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti..

Kembalikan kami padaMU

BIsmillahirrahmanirrahim....

lkami kembali kepada-Mu,mengakui dosa dan bertobat kepada-Mu
kamilah orang-orang yang sengsara dan yang mengharapkan-Mu
kamilah orang-orang yang ketakutan dan mencari perlindungan-Mu

Putuskan harapan kami kepada selain-Mu,
sehingga kami tidak berharap kecuali kepada-Mu,
dan tidak percaya kecuali kepada-Mu,
Wahai yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi,

Wahai yang Maha mendengar semua suara,
wahai yang Maha meliputi semua yang berlalu,
wahai yang Menyelamatkan semua jiwa setelah kematian,
Wahai yang Maha suci dari semua kegelapan..

Anugerahkan kepada kami keselamatan sehingga
menenteramkan kehidupan dan penghidupan kami.
Akhiri hidup kami dengan kebaikan sehingga dosa2 tidak membahayakan kami

Kurniakan kepada kami rasa ridha dalam hati kami
terhadap apa yang telah Kau bagikan sehingga kami tidak meminta sesuatu selain dari-Mu...
Amin Ya Rabb

Feb 20, 2015

Emosi

bilamana emosi Mngurung diri...kata2 trkunci....lalu air mata berkecai...meluah bahasa hati...hanya Tuhan yang tahu....

Ya Allah..akhirkan hidupku..dengan pengakhiran yang indah..rehatkan jiwaku di sana...setelah di dunia jiwaku hancur...