Sep 21, 2011

Muslimah jantung Ummah



بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله الذي تفضل علينا بأكمل نعمة وأتم مكرمة ومنة سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم,فقال في شأنه : (لقد من الله على المؤمنين إذ بعث فيهم رسولا من أىفسهم يتلوا عليهم آياته ويزكيهم ويعلمهم الكتاب والحكمة وإن كانوا من قبل لفي ضلال مبين). * سورة آل عمران : 164
اللهم صل وسلم على سيدنا محمد أكمل الممؤمنين إيمانا وأحسنهم أخلاقا..أما بعد.

Sesungguhnya hanya bagi Allah segala puji. Kita memohon pertolongan,petunjuk dan keampunan-Nya dari segala keburukan diri dan perbuatan kita. Bagi siapa yang diberi petunjuk oleh Allah swt nescaya tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan-Nya nescaya tidak akan ada yang menemukan pelindung dan pemberi petunjuk untuknya. Semoga kita semua dipilih oleh Allah swt untuk sentiasa diberi petunjuk ke jalan yang benar dan diredhai-Nya. Siapalah kita tanpa petunjuk dan hidayah Allah! Tanpa petunjuk-Nya kita akan terus berjalan dalam kegelapan. Segala puji untuk Allah yang telah mengutuskan rasul-Nya yang agung sebagai salah satu rahmat-Nya yang tidak terhitung untuk kita. Baginda saw telah menunjukkan kita jalan yang mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya. Sesungguhnya baginda saw benar-benar rahmat untuk seluruh alam…
Firman Allah swt:
" وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين "
( Dan tidaklah Kami mengutuskanmu melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.)
Surah Al-Anbiya’ :107
Bagaimana baginda Muhammad saw diutus sebagai rahmat bagi seluruh alam?
Sabda baginda saw:
" إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق "
) Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia(
Nampakkah anda kaitan antara sabda baginda Rasul saw bahawa tujuan baginda saw diutuskan untuk menyempurnakan akhlak dengan firman Allah swt yang menyebutkan tidaklah baginda saw diutuskan melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam?
Cuba kita renung dan fikirkan seandainya kehidupan masyarakat ini dipenuhi dan diliputi dengan perilaku manipulasi, pengkhianatan, penindasan dan kekejian, maka apakah dalam masyarakat seperti ini terdapat rahmat? Sudah tentu jawapannya ada dalam jiwa insan yang mencintai keamanan dan kesejahteraan.
Akhawat yang dikasihi,

Semoga kalian sentiasa dirahmati Allah swt dan mendapatkan redha-Nya dalam setiap amal yang dilaksanakan. Sesungguhnya nilai iman yang ada dalam jiwa kalian sangat tinggi harganya, tidak terbanding dengan segunung emas pun. Maka bersyukurlah kepada Allah dengan sebenar-benar kesyukuran. Seterusnya berdoa dan berusahalah kita untuk memelihara iman itu agar ia terus tumbuh subur dalam hati lalu membuahkan nilai-nilai mulia dalam diri. Sungguh! Sangat indah akhlak dan perilaku mereka yang berakhlak dengan akhlak Islam seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Semestinya akhlak sebegini lahir dari iman yang benar dan mantap seperti yang dapat kita perhatikan pada generasi awal Islam. Jiwa mereka benar-benar telah dirasuk dengan rasukan iman sehingga mereka terbentuk menjadi susuk yang sangat luar biasa. Hal ini bukan hanya terjadi pada golongan lelaki tetapi golongan wanita tetap sama muncul dengan akhlak dan peribadi yang unggul. Contohnya para umahatul mukminin, Saidatina Fatimah bt Muhammad Rasulullah, Saidatina Ruqayyah puteri Rasulullah, Asma’ binti Abu Bakar, Sumayyah, Asy-Syifa’ bt Abdullah, Ummu Sulaim, Khansa’ dan lain-lain.
Kemunculan peribadi-peribadi seperti ini tentu sahaja bukan secara tidak sengaja, melainkan ia perlu melalui suatu proses. Proses di mana iman itu ditanam dan disuburkan dalam jiwa sehingga benar-benar mantap dan mampu menjadi benteng yang ampuh dan tidak goyah walau apa badai yang melanda. Sungguh beruntung mereka yang terpilih mendapat didikan langsung dari kekasih Allah yang mulia Saidina Nabi Muhammad saw. Namun, baginda nabi saw tidak pernah melupakan kita ummatnya yang terkemudian. Buktinya, pada saat-saat akhir hayat baginda saw pun baginda masih menyebutkan kita dengan “ummati, ummati, ummati…” Tidakkah kita merasa tersentuh dengan kasih ini? Kita disebut pada akhir hayat baginda walaupun kita tidak pernah bertemu muka dengan baginda nabi saw.

Dalam suatu riwayat yang lain, Rasulullah saw pada suatu hari menyebutkan,”Aku rindu pada ikhwanku,”. Para sahabat merasa hairan lalu bertanya,”Bukankah kami ikhwanmu Ya Rasulullah?” Jawab baginda nabi,”Tidak, kamu sahabatku,” lalu para sahabat kembali bertanya,”Lalu siapakah ikhwanmu Ya Rasulullah?” Maka jawab baginda,”Mereka adalah ummatku yang tidak pernah bertemu denganku tetapi mereka beriman denganku”. Subhanallah, Rasulullah saw merindui ummat baginda yang beriman dengan baginda walaupun tidak  pernah bertemu. Tidakkah kita juga merasa rindu dengan baginda saw? Baginda benar-benar merupakan rahmat untuk seluruh alam.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk berakhlak seindah akhlak Rasulullah saw. Bagindalah contoh dan teladan terbaik kita, tidak kira siapa pun kita atau apa sekalipun kedudukan kita dalam masyarakat.
Firman Allah swt:
"لَقَدْ كَانَ لَكُمْ في رسولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كانَ يَرْجُوا اللهَ واليومَ الأخرَ وذَكَرَ اللهَ كثيرًا"
)Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.( Al-Ahzab:21
Seterusnya Rasulullah saw telah menyebutkan dalam hadith baginda saw:
"لقد تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما إن تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسوله"
)Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kalian 2 perkara. Tidak akan kalian sesat selama-lamanya selagimana kalian berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.(
Walaupun kita tidak pernah bertemu dengan baginda saw, namun baginda telah mewasiatkan 2 sumber rujukan utama kita dalam beragama. Itulah al-Quran dan sunnah baginda saw untuk menjadi ikutan kita.
Akhawat muslimah harapan ummah sekalian,

Wanita sepertimana lelaki, ada tugas dan peranannya yang tersendiri yang tidak kurang pentingnya dalam pembinaan sebuah peradaban. Wanita boleh dikatakan tunggak atau tunjang utama dalam pembentukan sebuah generasi. Masakan tidak, wanita yang memainkan peranan paling penting dalam mendidik dan membentuk anak-anaknya. Bukan sahaja sejak kecil tetapi semenjak dari dalam kandungan sehinggalah anak itu lahir dan membesar. Malah, hasil kajian membuktikan bahawa anak-anak lebih cenderung belajar dari ibu berbanding ayah kerana ibu lebih banyak bersama mereka.

Akhawat muslimah memiliki tugas dan peranan yang sangat besar dan penting sepanjang sejarah kemanusiaan. Mereka bukan sahaja rahim tempat bersemainya para pemimpin peradaban, akan tetapi para muslimah adalah pendidik para pelaku sejarah dari zaman ke zaman. Ada tugas besar yang harus dilakukan wanita muslimah untuk kebaikan diri dan umat secara keseluruhan. Contoh praktis dapat kita perhatikan dalam akhlak dan didikan ibu Imam Syafie, ibu Imam Abu Hanifah, ibu Imam Malik, ibu Umar bin Abdul Aziz, ibu Solahuddin Al-Ayyubi, ibu Muhammad al-Fateh dan ramai lagi ibu-ibu kepada sekian banyak figur ummah.

Wanita, sebagaimana juga lelaki, mempunyai kewajipan dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Untuk itulah para akhawat muslimah perlu menjadi wanita yang berakhlak mulia dan cerdas dalam segala aspeknya.
Allah swt berfirman dalam surah At-Taubah:71
" والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعضۚ يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة ويطيعون الله ورسولهۚ أولئك سيرحمهم اللهۗ إن الله عزيز حكيم "
(Adapun orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah.)
 Kerana itulah musuh-musuh Islam memberikan tumpuan khusus kepada wanita muslimah dalam usaha mereka hendak meruntuhkan Islam. Mereka tumpukan perhatian pada usaha merosakkan wanita-wanita muslimah dalam rangka menghancurkan generasi muslim yang sepatutnya gemilang. Pelbagai cara dilakukan untuk menghilangkan identiti wanita muslimah yang terpelihara dan dimuliakan baik secara halus mahupun terang-terangan.

Realiti kehidupan dewasa ini banyak diwarnai dengan teknologi yang tidak pernah berhenti berinovasi. Justeru, kerana kemajuan-kemajuan teknologi tersebut, pada akhirnya peperangan antara kebaikan dengan keburukan, kebenaran dengan kebatilan, menjadi semakin canggih dan terbuka. Kebatilan mendedahkan dirinya dengan sedemikian vulgar dan elegan, tanpa merasa malu dan segan. Kejahatan dalam pelbagai bidang juga telah muncul sebagai kesan langsung dari kemajuan teknologi.

Keadaan zaman boleh mempengaruhi kebaikan individu-individu dan komuniti umat Islam. Pada kenyataannya keruntuhan moral telah terjadi pada banyak kalangan masyarat. Wanita-wanita telah kehilangan harga diri dan kemuliaannya. Mereka menjadi tayangan dan tontonan dunia, menjadi alat produksi bagi sejumlah industri, menjadi alat transaksi dan korban eksploitasi. Wanita muslimah semakin hilang harga diri. Malu yang menjadi perhiasan khasnya selama ini semakin luntur terhakis oleh sesuatu yang ditopengkan dengan istilah pemodenan dan kemajuan. Sedangkan Rasulullah saw menyebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
" الحياءُ شعبةٌ مِنَ الإيمانِ"
( Malu itu adalah satu cabang daripada iman)

Akhawat muslimah mutiara Islam,
Berdoalah kita agar dikuatkan Allah untuk berpegang dengan tali-Nya yang kukuh di saat jahiliyyah semakin rakus memamah iman, di saat manusia tidak lagi mengenal antara yang haq dengan batil. Berdoalah dengan hati yang tawadhuk dan penuh mengharap kepada Allah.

Usaha yang sangat serius diperlukan untuk melindungi wanita muslimah agar tidak menjadi korban pada pemodenan ini. Bukanlah kemajuan itu yang salah kerana Islam sangat-sangat menggalakkan budaya ilmu dalam masyarakatnya, tetapi apabila kemajuan itu sudah dieksploitasi dengan budaya barat yang sangat menyesakkan, kemajuan itu bertukar menjadi bahang bahana yang sangat merisaukan kala ini. Tanpa proses pembinaan diri, dikhuatirkan para muslimah gagal membenteng diri dari kesan kemajuan peradaban yang tidak manusiawi ini. Bagaimana jika para wanita muslimah tidak mendapatkan proses penguatan diri melalui tarbiyah islamiyah yang kukuh? Tidak seorang pun yang akan mampu membentengi pengaruh globalisasi yang semakin menggila. Kita perlu bersama-sama dalam proses pembinaan ini tanpa ada yang tercicir walau seorang pun. Sangat diperlukan kekuatan dan pertolongan dari Allah!    
Akhawat muslimah permata ummah,
Rasulullah saw telah bersabda lagi dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
"الحياءُ لا يأتي إلا بخير"
(Sifat malu tidak mendatangkan selain daripada kebaikan)
Daripada hadith ini, dapatkah kalian bayangkan betapa indahnya peribadi wanita muslimah yang dihiasi sifat malu ini? Allah menjadikan malu sebagai pakaian dan perhiasan bagi wanita muslimah. Mereka bersama-sama kaum lelaki bertanggungjawab memakmurkan bumi dan mentarbiah (mendidik) generasi berdasarkan kepada kebersihan fitrah kewanitaannya. Al-Quran telah menjelaskan makna ini dalam firman Allah yang menceritakan tentang salah seorang daripada 2 puteri Nabi Syuaib as ketika dia datang memanggil Nabi Musa as dalam surah Al-Qosos: 25
" فَجَآءَتْهُ إِحْدَىهُمَا تَمْشِى عَلَى اۘسْتِحْيآءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا "
) Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua wanita itu berjalan malu-malu, ia berkata: Sesungguhnya bapaku memanggilmu agar dia member balasan terhadap (kebaikan) mu member minum (ternakan) kami.(
Wanita ini datang menemui Nabi Musa as atas perintah bapanya, berjalan dengan adab seorang wanita yang suci bersih ketika bertemu dengan lelaki, tanpa dibuat-buat, tidak tabarruj (bersolek) dan tidak menggoda. Di samping malu yang tergambar dalam cara berjalannya, dia juga mengucapkan kata-katanya dengan jelas, dia tidak gugup dan tidak tersandung. Hal itu timbul daripada aspirasi fitrah yang sihat, bersih lagi lurus. Pemudi yang lurus merasa malu secara fitrah ketika bertemu dengan lelaki dan berbicara dengannya. Kebersihan dan berpegang dengan kebenaran menjadikan dia tidak mengarut sehingga mendorong orang lain mengingininya, terpikat dan terpesona, tetapi dia berbicara dengan jelas dan sekadar keperluan, tidak lebih dari itu.

Namun realiti yang dapat kita perhatikan pada wanita zaman ini ramai yang disifatkan sebagai wanita jalanan, berpergian, bertabarruj (bersolek) dan bercampur dengan lelaki bukan muhrim tanpa ada keperluan yang dibenarkan oleh syara’. Maka wanita seperti ini bukanlah wanita yang dididik di madrasah al-Quran dan Islam. Dia menukarkan malu dan taat kepada Allah menjadi hina-dina, maksiat dan jenayah. Mereka sebenarnya telah diperalatkan oleh musuh-musuh Allah untuk melakukan kerosakan dan kehancuran di dunia dan akhirat.

Sifat tidak malu akan menjerumuskan seseorang ke jurang keburukan dan tidak mempedulikan celaan dan cacian hasil dari tindak tanduknya sehingga sanggup melakukan kejahatan secara terang-terangan. Orang yang tidak malu dengan Allah dan kepada manusia tidak ada yang dapat menghalang kebodohannya itu melainkan hukuman yang tegas dan berat. Sabda Rasulullah saw:
" كُلُّ أُمتي مُعَافَى إلا المُجَاهِرينَ "
(Semua ummatku berada dalam keadaan selamat kecuali yang melakukan kejahatan secara terang-terangan).
Akhawat yang sentiasa berlumba-lumba dengan kebaikan,
Sukalah ana di sini ingin mengingatkan diri yang kekurangan ini dan akhawat fillah sekalian untuk kita sama-sama memperbaiki dan mempertingkatkan lagi kualiti akhlak kita agar benar-benar menepati akhlak seorang wanita muslimah yang sepatutnya. Kunci untuk mendapatkan akhlak yang mulia ini adalah dengan taqwa kerana Rasulullah saw yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia itu telah berpesan kepada kita:

" اتَّقِ اللهَ حَيْثما كُنْتَ, وأتْبِعِ السيئةَ الحسنةَ تَمْحُهَا, وخالِقِ الناسَ بخُلقٍ حسنٍ "
( Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik). Hadith riwayat Tarmidzi.
Saranan rasulullah saw yang paling besar dalam hadith ini ialah bertaqwa kepada Allah, kerana ia merupakan himpunan segala kebaikan serta pencegah segala kejahatan.
Akhawat yang selalu mencari cinta Allah,
Untuk apa kita perlu memperbaiki akhlak kita? Ibnu Hibban meriwayatkan dalam sahihnya daripada Rasulullah saw:
" ألا أُخْبِرُكُمْ بِأَحَبِّكُمْ إلى اللهِ وأَقْرَبِكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَومَ القِيَامَةِ؟ قالوا بَلَى, قَال: أَحْسَنُكُمْ خُلُقًا "
( Sukakah kamu aku tunjukkan orang yang paling dicintai Allah, dan paling dekat denganku di hari kiamat? Para sahabat menjawab: Sudah tentu. Rasulullah saw menyatakan: Iaitu orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu.(
Wahai jiwa-jiwa yang hangat cintanya mencari akhirat, adakah perkhabaran lain yang lebih menggembirakan kalian selain dikhabarkan menjadi orang yang paling dicintai Allah dan menjadi orang yang paling dekat dengan kekasih-Nya pada hari yang tidak ada seorang pun yang mampu memberikan syafaat selain baginda saw pula? Subhanallah, sungguh halus dan indah peribadi Rasulullah itu sehingga tergambar dengan halus dan indahnya kalam baginda. Bagaimana pula dengan kalam yang selalu menjadi pertuturan kita? Adakah sudah mencontohi cara berbicara Rasulullah dan para solihin? Sungguh ajaran Islam yang cocok dengan kesucian fitrah, kemuliaan akhlak dan kebersihan hati tidak teragak-agak untuk diterima oleh mereka yang memiliki kualiti hati yang istimewa.
Kemudian Imam Ahmad dan Abu Daud pula meriwayatkan daripada Rasulullah saw:
" خِيَارُكُمْ أَحَاسِنُكُمْ خُلُقًا "
( Orang yang paling baik di antaramu ialah orang yang paling baik akhlaknya.)
Hah! Apa tunggu lagi? Jom! Tingkatkan akhlak dan peribadi kita dengan momentum taqwa. Semoga hari-hari yang kita lalui mendapat keberkatan daripada Allah swt. Jangan lupa untuk mendoakan saudara-saudara kita yang lain…uhibbukunna ya akhawati fillah!

21/09/2011   
10:46pm


Yang teramat mengharapkan redha-Nya,
                                                                                                         ~Ukhtukunna fillah: Bintu Ahmad

No comments: