بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذي تفضل علينا بأكمل نعمة وأتم مكرمة ومنة
سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم,فقال في شأنه : (لقد من الله على المؤمنين إذ بعث
فيهم رسولا من أىفسهم يتلوا عليهم آياته ويزكيهم ويعلمهم الكتاب والحكمة وإن كانوا من قبل
لفي ضلال مبين). * سورة آل عمران : 164
اللهم صل وسلم على سيدنا محمد أكمل الممؤمنين إيمانا
وأحسنهم أخلاقا..أما بعد.
Sesungguhnya hanya bagi Allah segala puji. Kita
memohon pertolongan,petunjuk dan keampunan-Nya dari segala keburukan diri dan
perbuatan kita. Bagi siapa yang diberi petunjuk oleh Allah swt nescaya tidak
ada yang dapat menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan-Nya nescaya tidak akan
ada yang menemukan pelindung dan pemberi petunjuk untuknya. Semoga kita semua
dipilih oleh Allah swt untuk sentiasa diberi petunjuk ke jalan yang benar dan
diredhai-Nya. Siapalah kita tanpa petunjuk dan hidayah Allah! Tanpa
petunjuk-Nya kita akan terus berjalan dalam kegelapan. Segala puji untuk Allah
yang telah mengutuskan rasul-Nya yang agung sebagai salah satu rahmat-Nya yang
tidak terhitung untuk kita. Baginda saw telah menunjukkan kita jalan yang
mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya. Sesungguhnya baginda saw
benar-benar rahmat untuk seluruh alam…
Firman Allah swt:
" وما أرسلناك إلا رحمة
للعالمين "
( Dan tidaklah Kami
mengutuskanmu melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.)
Surah Al-Anbiya’ :107
Bagaimana baginda Muhammad saw diutus sebagai rahmat
bagi seluruh alam?
Sabda baginda saw:
" إنما بعثت لأتمم
مكارم الأخلاق "
) Sesungguhnya aku
diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia(
Nampakkah anda kaitan antara sabda baginda Rasul saw
bahawa tujuan baginda saw diutuskan untuk menyempurnakan akhlak dengan firman
Allah swt yang menyebutkan tidaklah baginda saw diutuskan melainkan sebagai
rahmat bagi seluruh alam?
Cuba kita renung dan fikirkan seandainya kehidupan
masyarakat ini dipenuhi dan diliputi dengan perilaku manipulasi, pengkhianatan,
penindasan dan kekejian, maka apakah dalam masyarakat seperti ini terdapat
rahmat? Sudah tentu jawapannya ada dalam jiwa insan yang mencintai keamanan dan
kesejahteraan.
Akhawat yang dikasihi,
Semoga kalian sentiasa dirahmati Allah swt dan
mendapatkan redha-Nya dalam setiap amal yang dilaksanakan. Sesungguhnya nilai
iman yang ada dalam jiwa kalian sangat tinggi harganya, tidak terbanding dengan segunung
emas pun. Maka bersyukurlah kepada Allah dengan sebenar-benar kesyukuran.
Seterusnya berdoa dan berusahalah kita untuk memelihara iman itu agar ia terus
tumbuh subur dalam hati lalu membuahkan nilai-nilai mulia dalam diri. Sungguh!
Sangat indah akhlak dan perilaku mereka yang berakhlak dengan akhlak Islam
seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Semestinya akhlak
sebegini lahir dari iman yang benar dan mantap seperti yang dapat kita
perhatikan pada generasi awal Islam. Jiwa mereka benar-benar telah dirasuk
dengan rasukan iman sehingga mereka terbentuk menjadi susuk yang sangat luar
biasa. Hal ini bukan hanya terjadi pada golongan lelaki tetapi golongan wanita
tetap sama muncul dengan akhlak dan peribadi yang unggul. Contohnya para
umahatul mukminin, Saidatina Fatimah bt Muhammad Rasulullah, Saidatina Ruqayyah
puteri Rasulullah, Asma’ binti Abu Bakar, Sumayyah, Asy-Syifa’ bt Abdullah, Ummu
Sulaim, Khansa’ dan lain-lain.
Kemunculan peribadi-peribadi seperti ini tentu sahaja
bukan secara tidak sengaja, melainkan ia perlu melalui suatu proses. Proses di
mana iman itu ditanam dan disuburkan dalam jiwa sehingga benar-benar mantap dan
mampu menjadi benteng yang ampuh dan tidak goyah walau apa badai yang melanda.
Sungguh beruntung mereka yang terpilih mendapat didikan langsung dari kekasih
Allah yang mulia Saidina Nabi Muhammad saw. Namun, baginda nabi saw tidak
pernah melupakan kita ummatnya yang terkemudian. Buktinya, pada saat-saat akhir
hayat baginda saw pun baginda masih menyebutkan kita dengan “ummati, ummati,
ummati…” Tidakkah kita merasa tersentuh dengan kasih ini? Kita disebut pada
akhir hayat baginda walaupun kita tidak pernah bertemu muka dengan baginda nabi
saw.
Dalam suatu riwayat yang lain, Rasulullah saw pada
suatu hari menyebutkan,”Aku rindu pada ikhwanku,”. Para sahabat merasa hairan
lalu bertanya,”Bukankah kami ikhwanmu Ya Rasulullah?” Jawab baginda
nabi,”Tidak, kamu sahabatku,” lalu para sahabat kembali bertanya,”Lalu siapakah
ikhwanmu Ya Rasulullah?” Maka jawab baginda,”Mereka adalah ummatku yang tidak
pernah bertemu denganku tetapi mereka beriman denganku”. Subhanallah,
Rasulullah saw merindui ummat baginda yang beriman dengan baginda walaupun
tidak pernah bertemu. Tidakkah kita juga
merasa rindu dengan baginda saw? Baginda benar-benar merupakan rahmat untuk
seluruh alam.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk
berakhlak seindah akhlak Rasulullah saw. Bagindalah contoh dan teladan terbaik
kita, tidak kira siapa pun kita atau apa sekalipun kedudukan kita dalam
masyarakat.
Firman Allah swt:
"لَقَدْ
كَانَ لَكُمْ في رسولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كانَ يَرْجُوا اللهَ
واليومَ الأخرَ وذَكَرَ اللهَ كثيرًا"
)Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu
contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)
Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.( Al-Ahzab:21
Seterusnya Rasulullah saw telah menyebutkan dalam
hadith baginda saw:
"لقد
تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما إن تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسوله"
)Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kalian 2
perkara. Tidak akan kalian sesat selama-lamanya selagimana kalian berpegang
dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.(
Walaupun kita tidak pernah bertemu dengan baginda saw,
namun baginda telah mewasiatkan 2 sumber rujukan utama kita dalam beragama.
Itulah al-Quran dan sunnah baginda saw untuk menjadi ikutan kita.
Akhawat muslimah harapan ummah sekalian,
Wanita sepertimana lelaki, ada tugas dan peranannya
yang tersendiri yang tidak kurang pentingnya dalam pembinaan sebuah peradaban.
Wanita boleh dikatakan tunggak atau tunjang utama dalam pembentukan sebuah
generasi. Masakan tidak, wanita yang memainkan peranan paling penting dalam
mendidik dan membentuk anak-anaknya. Bukan sahaja sejak kecil tetapi semenjak
dari dalam kandungan sehinggalah anak itu lahir dan membesar. Malah, hasil
kajian membuktikan bahawa anak-anak lebih cenderung belajar dari ibu berbanding
ayah kerana ibu lebih banyak bersama mereka.
Akhawat muslimah memiliki tugas dan peranan yang
sangat besar dan penting sepanjang sejarah kemanusiaan. Mereka bukan sahaja
rahim tempat bersemainya para pemimpin peradaban, akan tetapi para muslimah
adalah pendidik para pelaku sejarah dari zaman ke zaman. Ada tugas besar yang
harus dilakukan wanita muslimah untuk kebaikan diri dan umat secara
keseluruhan. Contoh praktis dapat kita perhatikan dalam akhlak dan didikan ibu
Imam Syafie, ibu Imam Abu Hanifah, ibu Imam Malik, ibu Umar bin Abdul Aziz, ibu
Solahuddin Al-Ayyubi, ibu Muhammad al-Fateh dan ramai lagi ibu-ibu kepada sekian
banyak figur ummah.
Wanita, sebagaimana juga lelaki, mempunyai kewajipan
dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Untuk itulah para akhawat muslimah
perlu menjadi wanita yang berakhlak mulia dan cerdas dalam segala aspeknya.
Allah swt berfirman dalam surah At-Taubah:71
" والمؤمنون
والمؤمنات بعضهم أولياء بعضۚ يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلاة
ويؤتون الزكاة ويطيعون الله ورسولهۚ أولئك سيرحمهم اللهۗ إن الله عزيز حكيم "
(Adapun orang-orang
yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong
sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf dan mencegah yang
mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan
Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah.)
Kerana itulah
musuh-musuh Islam memberikan tumpuan khusus kepada wanita muslimah dalam usaha
mereka hendak meruntuhkan Islam. Mereka tumpukan perhatian pada usaha
merosakkan wanita-wanita muslimah dalam rangka menghancurkan generasi muslim
yang sepatutnya gemilang. Pelbagai cara dilakukan untuk menghilangkan identiti
wanita muslimah yang terpelihara dan dimuliakan baik secara halus mahupun
terang-terangan.
Realiti kehidupan dewasa ini banyak diwarnai dengan teknologi
yang tidak pernah berhenti berinovasi. Justeru, kerana kemajuan-kemajuan
teknologi tersebut, pada akhirnya peperangan antara kebaikan dengan keburukan,
kebenaran dengan kebatilan, menjadi semakin canggih dan terbuka. Kebatilan
mendedahkan dirinya dengan sedemikian vulgar dan elegan, tanpa merasa malu dan
segan. Kejahatan dalam pelbagai bidang juga telah muncul sebagai kesan langsung
dari kemajuan teknologi.
Keadaan zaman boleh mempengaruhi kebaikan
individu-individu dan komuniti umat Islam. Pada kenyataannya keruntuhan moral
telah terjadi pada banyak kalangan masyarat. Wanita-wanita telah kehilangan
harga diri dan kemuliaannya. Mereka menjadi tayangan dan tontonan dunia,
menjadi alat produksi bagi sejumlah industri, menjadi alat transaksi dan korban
eksploitasi. Wanita muslimah semakin hilang harga diri. Malu yang menjadi
perhiasan khasnya selama ini semakin luntur terhakis oleh sesuatu yang
ditopengkan dengan istilah pemodenan dan kemajuan. Sedangkan Rasulullah saw
menyebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
" الحياءُ شعبةٌ
مِنَ الإيمانِ"
( Malu itu adalah satu
cabang daripada iman)
Akhawat muslimah mutiara Islam,
Berdoalah kita agar dikuatkan Allah untuk berpegang
dengan tali-Nya yang kukuh di saat jahiliyyah semakin rakus memamah iman, di
saat manusia tidak lagi mengenal antara yang haq dengan batil. Berdoalah dengan
hati yang tawadhuk dan penuh mengharap kepada Allah.
Usaha yang sangat serius diperlukan untuk melindungi
wanita muslimah agar tidak menjadi korban pada pemodenan ini. Bukanlah kemajuan
itu yang salah kerana Islam sangat-sangat menggalakkan budaya ilmu dalam
masyarakatnya, tetapi apabila kemajuan itu sudah dieksploitasi dengan budaya
barat yang sangat menyesakkan, kemajuan itu bertukar menjadi bahang bahana yang
sangat merisaukan kala ini. Tanpa proses pembinaan diri, dikhuatirkan para
muslimah gagal membenteng diri dari kesan kemajuan peradaban yang tidak manusiawi
ini. Bagaimana jika para wanita muslimah tidak mendapatkan proses penguatan
diri melalui tarbiyah islamiyah yang kukuh? Tidak seorang pun yang akan mampu
membentengi pengaruh globalisasi yang semakin menggila. Kita perlu bersama-sama
dalam proses pembinaan ini tanpa ada yang tercicir walau seorang pun. Sangat
diperlukan kekuatan dan pertolongan dari Allah!
Akhawat muslimah permata ummah,
Rasulullah saw telah bersabda lagi dalam sebuah hadith
yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
"الحياءُ لا يأتي
إلا بخير"
(Sifat malu tidak
mendatangkan selain daripada kebaikan)
Daripada hadith ini, dapatkah kalian bayangkan betapa
indahnya peribadi wanita muslimah yang dihiasi sifat malu ini? Allah menjadikan
malu sebagai pakaian dan perhiasan bagi wanita muslimah. Mereka bersama-sama
kaum lelaki bertanggungjawab memakmurkan bumi dan mentarbiah (mendidik)
generasi berdasarkan kepada kebersihan fitrah kewanitaannya. Al-Quran telah
menjelaskan makna ini dalam firman Allah yang menceritakan tentang salah seorang
daripada 2 puteri Nabi Syuaib as ketika dia datang memanggil Nabi Musa as dalam
surah Al-Qosos: 25
" فَجَآءَتْهُ إِحْدَىهُمَا
تَمْشِى عَلَى اۘسْتِحْيآءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ
مَا سَقَيْتَ لَنَا "
) Kemudian datanglah
kepada Musa salah seorang daripada kedua wanita itu berjalan malu-malu, ia
berkata: Sesungguhnya bapaku memanggilmu agar dia member balasan terhadap
(kebaikan) mu member minum (ternakan) kami.(
Wanita ini datang menemui Nabi Musa as atas perintah
bapanya, berjalan dengan adab seorang wanita yang suci bersih ketika bertemu
dengan lelaki, tanpa dibuat-buat, tidak tabarruj (bersolek) dan tidak menggoda.
Di samping malu yang tergambar dalam cara berjalannya, dia juga mengucapkan
kata-katanya dengan jelas, dia tidak gugup dan tidak tersandung. Hal itu timbul
daripada aspirasi fitrah yang sihat, bersih lagi lurus. Pemudi yang lurus
merasa malu secara fitrah ketika bertemu dengan lelaki dan berbicara dengannya.
Kebersihan dan berpegang dengan kebenaran menjadikan dia tidak mengarut
sehingga mendorong orang lain mengingininya, terpikat dan terpesona, tetapi dia
berbicara dengan jelas dan sekadar keperluan, tidak lebih dari itu.
Namun realiti yang dapat kita perhatikan pada wanita
zaman ini ramai yang disifatkan sebagai wanita jalanan, berpergian, bertabarruj
(bersolek) dan bercampur dengan lelaki bukan muhrim tanpa ada keperluan yang
dibenarkan oleh syara’. Maka wanita seperti ini bukanlah wanita yang dididik di
madrasah al-Quran dan Islam. Dia menukarkan malu dan taat kepada Allah menjadi
hina-dina, maksiat dan jenayah. Mereka sebenarnya telah diperalatkan oleh
musuh-musuh Allah untuk melakukan kerosakan dan kehancuran di dunia dan
akhirat.
Sifat tidak malu akan menjerumuskan seseorang ke
jurang keburukan dan tidak mempedulikan celaan dan cacian hasil dari tindak
tanduknya sehingga sanggup melakukan kejahatan secara terang-terangan. Orang
yang tidak malu dengan Allah dan kepada manusia tidak ada yang dapat menghalang
kebodohannya itu melainkan hukuman yang tegas dan berat. Sabda Rasulullah saw:
" كُلُّ أُمتي
مُعَافَى إلا المُجَاهِرينَ "
(Semua ummatku berada
dalam keadaan selamat kecuali yang melakukan kejahatan secara terang-terangan).
Akhawat yang sentiasa berlumba-lumba dengan kebaikan,
Sukalah ana di sini ingin mengingatkan diri
yang kekurangan ini dan akhawat fillah sekalian untuk kita sama-sama memperbaiki
dan mempertingkatkan lagi kualiti akhlak kita agar benar-benar menepati akhlak
seorang wanita muslimah yang sepatutnya. Kunci untuk mendapatkan akhlak yang
mulia ini adalah dengan taqwa kerana Rasulullah saw yang diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia itu telah berpesan kepada kita:
" اتَّقِ اللهَ حَيْثما كُنْتَ, وأتْبِعِ
السيئةَ الحسنةَ تَمْحُهَا, وخالِقِ الناسَ بخُلقٍ حسنٍ "
( Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susulilah
keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Bergaullah
dengan manusia dengan akhlak yang baik). Hadith riwayat Tarmidzi.
Saranan rasulullah saw yang paling besar
dalam hadith ini ialah bertaqwa kepada Allah, kerana ia merupakan himpunan
segala kebaikan serta pencegah segala kejahatan.
Akhawat yang selalu mencari cinta Allah,
Untuk apa kita perlu memperbaiki akhlak
kita? Ibnu Hibban meriwayatkan dalam sahihnya daripada Rasulullah saw:
" ألا أُخْبِرُكُمْ بِأَحَبِّكُمْ إلى اللهِ
وأَقْرَبِكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَومَ القِيَامَةِ؟ قالوا بَلَى, قَال:
أَحْسَنُكُمْ خُلُقًا "
( Sukakah kamu aku tunjukkan orang yang paling dicintai Allah,
dan paling dekat denganku di hari kiamat? Para sahabat menjawab: Sudah tentu.
Rasulullah saw menyatakan: Iaitu orang yang paling baik akhlaknya di antara
kamu.(
Wahai jiwa-jiwa yang hangat cintanya
mencari akhirat, adakah perkhabaran lain yang lebih menggembirakan kalian
selain dikhabarkan menjadi orang yang paling dicintai Allah dan menjadi orang
yang paling dekat dengan kekasih-Nya pada hari yang tidak ada seorang pun yang
mampu memberikan syafaat selain baginda saw pula? Subhanallah, sungguh halus
dan indah peribadi Rasulullah itu sehingga tergambar dengan halus dan indahnya
kalam baginda. Bagaimana pula dengan kalam yang selalu menjadi pertuturan kita?
Adakah sudah mencontohi cara berbicara Rasulullah dan para solihin? Sungguh ajaran
Islam yang cocok dengan kesucian fitrah, kemuliaan akhlak dan kebersihan hati
tidak teragak-agak untuk diterima oleh mereka yang memiliki kualiti hati yang
istimewa.
Kemudian Imam Ahmad dan Abu Daud pula
meriwayatkan daripada Rasulullah saw:
" خِيَارُكُمْ أَحَاسِنُكُمْ خُلُقًا "
( Orang yang paling baik di antaramu ialah orang yang paling
baik akhlaknya.)
Hah! Apa tunggu lagi? Jom! Tingkatkan
akhlak dan peribadi kita dengan momentum taqwa. Semoga hari-hari yang kita
lalui mendapat keberkatan daripada Allah swt. Jangan lupa untuk mendoakan
saudara-saudara kita yang lain…uhibbukunna ya akhawati fillah!
Yang teramat mengharapkan redha-Nya,
~Ukhtukunna
fillah: Bintu Ahmad